Kata orang bila hati dipenuhi bunga-bunga cinta lalu terserlahlah keceriaan diwajah. Sehari tidak berjumpa terasa berbulan lamanya sehari tidak mendengar suara betapa kerinduan kian terasa. Telefon sentiasa digenggaman tangan dengan bunyi whatsup yang sering kedengaran. Kalau tak makan tak apa sebab perut sudah dipenuhi dengan kata-kata indah madah pujangga. Oh alangkah indah dunia disaat itu.
Itulah lumrah kehidupan bila saat diri disayangi dan dihargai. Mungkinkah aku juga begitu? Perasaan yang kini bertandang dihati semakin lama semakin dirasai. Mampukah aku menyambut cinta yang dihulur dengan penuh kasih sayang?
Sudah lama rasa ini hilang dari hati tapi kini seolah subur kembali. Puas kupujuk hati untuk mencuba menerima huluran yang diberi. Tangan yang dihulur tanda persabahatan perlahan-lahan aku terima walau ada ketika pelbagai persoalan menerjah dikotak minda.
Apakah yang hadir diketika ini ianya sekadar untuk menguji akan kesetiaan aku didalam mengukir janji atau kerana apa.
Ada ketika hati meronta merintih meminta perhatian tapi akal selalu memintas segera mengingatkan sesuatu yang aku tak mampu untuk mengubah takdir yang telah datang.
Bukankah apa yang aku miliki kini pernah suatu ketika dahulu tersimpul bersama doa doa serta keinginan yang pernah cuba aku bina sendirian.